YB James Ratib telah menyerahkan empat (4) unit terminal satelit Starlink sebagai langkah intervensi segera bagi memastikan kelangsungan komunikasi di kawasan yang terjejas akibat bencana banjir di daerah Paitan. Inisiatif ini bertujuan membantu memulihkan capaian komunikasi yang terputus, khususnya di kawasan yang menghadapi kekangan liputan rangkaian konvensional.

Pelaksanaan inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Net Sdn. Bhd. (SabahNet), sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang berperanan dalam penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital di negeri ini. Melalui penyediaan terminal satelit tersebut, capaian internet dapat diwujudkan di beberapa lokasi strategik seperti pusat pemindahan sementara (PPS), pusat operasi bencana serta kawasan komuniti yang terjejas.

Kemudahan ini membolehkan penyampaian maklumat penting, koordinasi operasi bantuan serta komunikasi antara agensi berkaitan dan penduduk setempat dapat diteruskan dengan lebih lancar. Penggunaan teknologi satelit seperti Starlink juga membantu memastikan akses komunikasi kekal tersedia walaupun berlaku gangguan kepada infrastruktur telekomunikasi sedia ada.

Secara keseluruhannya, inisiatif ini memberi sokongan penting dalam pengurusan situasi bencana, khususnya dari aspek komunikasi dan penyampaian maklumat, sekali gus membantu mempertingkatkan kecekapan tindakan di lapangan