KOTA MARUDU | AHAD, 7 JUN 2026

LAWATAN TAPAK YB DATUK JAMES BIN RATIB, MENTERI PENDIDIKAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SABAH KE SMK LANGKON, KOTA MARUDU

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James Ratib, telah mengadakan lawatan turun padang ke tapak projek pembinaan SMK Langkon yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu dan masih gagal disiapkan sehingga kini.

Keadaan ini telah memaksa seramai 650 pelajar SMK Langkon menumpang di SK Langkon sejak tahun 2010 bagi meneruskan sesi pembelajaran mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai cabaran dari segi kemudahan dan keselesaan warga sekolah.

YB Datuk James Ratib menzahirkan keprihatinan terhadap nasib para pelajar dan guru serta menegaskan bahawa isu ini memerlukan tindakan segera. Beliau akan membawa perkara ini terus kepada Menteri Pendidikan Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian yang tuntas dan mempercepatkan pelaksanaan projek tersebut.

Kerajaan Negeri berharap kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan dapat memastikan pembinaan SMK Langkon disiapkan secepat mungkin demi menyediakan kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti kepada anak-anak Sabah.

Pendidikan adalah pelaburan masa depan, dan setiap anak Sabah berhak menikmati akses kepada persekitaran pembelajaran yang kondusif serta kemudahan pendidikan yang sempurna.