WEBSITE AND DASHBOARD INNOVATION COMPETITION (WADIC) 2026
KOTA KINABALU | 13 OKTOBER 2026 (SELASA)
WEBSITE AND DASHBOARD INNOVATION COMPETITION (WADIC) 2026
Majlis Penganugerahan WADIC 2026 bertempat di Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Ahemad Sade, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Pembangunan bagi mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah pagi hari ini.Kehadiran beliau telah diiringi oleh YBhg. Datuk Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah.
WADIC 2026 menerima penyertaan sebanyak 64 laman web dan 44 dashboard daripada kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Sabah. Pertandingan ini merupakan inisiatif untuk mengiktiraf kecemerlangan pembangunan platform digital kerajaan, di samping menggalakkan inovasi dan penggunaan teknologi secara strategik dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Pertandingan ini mempertandingkan tujuh anugerah yang merangkumi dua kategori utama. Bagi kategori dashboard, anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Vista (Visual Insight & State Tech Awards), Anugerah Dash (Digital Analytics & Smart Hub Awards) dan Anugerah Idea (Insight Data & Analytics Award). Bagi kategori laman web pula, anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Nexus (Networked & External Systems Excellence Award), Anugerah Core (Creative & Original Resources Excellence Awards), Anugerah Frame (Framework Alignment & Modernization Excellence Award) dan Anugerah ACE (Award for Cyber & Webmaster Excellence).
Dalam ucapan perasmian yang disampaikan tersebut, kepentingan penggunaan laman web dan dashboard dalam pelaksanaan tugas harian, turut ditekankan sebagai elemen penting dalam mempertingkat kecekapan kerja, memperkemas pengurusan maklumat serta menyokong agenda transformasi digital Kerajaan Negeri Sabah.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Mansur Haji Asun, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah; YBrs. Puan Doria Tai Yun Tyng, Timbalan Setiausaha Tetap I KPSTI; YBhg. Datin Hajah Siti Yuslaini binti Haji Mohd. Samsuri, Pengerusi PUSPANITA; YBhg. Tuan Jasni Abu Suffyan Omar, Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah; Tuan Awangku Raimy bin Pangeran Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Tetap II KPSTI; serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan para pemenerima anugerah yang diraikan.
Tahniah diucapkan kepada semua pemenang WADIC 2026 atas pencapaian yang membanggakan. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan inovasi digital yang lebih berkualiti, mampan dan berimpak tinggi demi mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri Sabah.



