SABAH SOCIAL ENTREPRENEURS ACCELERATOR PROGRAMME (SSEAP) 2026: DEMO DAY
Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah menerusi Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) telah menganjurkan majlis Demo Day bagi Sabah Social Entrepreneurs Accelerator Programme 2026 (SSEAP 2026) di Kota Kinabalu, yang disempurnakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Inovasi dan Digital Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Puan Ila Fadilah binti Harun bagi mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi sabah, YBhg. Datuk Hassan bin Mahali. Program bimbingan berstruktur ini bermatlamat memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial, inovasi, dan teknologi selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya 2.0, sekali gus memperkasa 10 pengasas perusahaan tempatan menerusi modul pengurusan kewangan, pemasaran digital, tadbir urus, serta digitalisasi perniagaan.
Hasil daripada program ini, 80 peratus peserta berjaya meningkatkan tahap pengurusan perniagaan dan pengunaan teknologi mereka, termasuk liputan projek rintis serta digitalisasi operasi. Menerusi sokongan rakan strategik seperti INSKEN, TERAJU, dan PETRONAS Innovation Garage (PING23) Sdn. Bhd., inisiatif ini bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi turut memastikan inovasi yang dihasilkan dapat menyelesaikan isu komuniti secara mampan dan berimpak tinggi.
Turut hadir ialah YBrs. Dr. Mohd Lan bin Muslim, Ketua Pegawai Eksekutif SCENIC; YBrs. Encik Muhammad Ikhwan bin Ghulam Jelani, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM); Encik Aizat bin Ponirin, Pengarah Bersekutu Perkhidmatan Perniagaan & Keusahawanan TERAJU; Encik Kamarul Asraf Kamarulzaman, Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan & Perkongsian PING23 Sdn. Bhd.; Encik Allan Ron Ambrews, Pengurus Pembangunan Industri INSKEN; serta para mentor, pembimbing, dan pengasas perusahaan sosial.



