MEMPERKUKUH KETERHUBUNGAN DIGITAL SABAH
KOTA KINABALU – Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James Ratib, telah mengiringi Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, menerima kunjungan hormat daripada Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil, bertempat di Menara Kinabalu, hari ini. Pertemuan strategik ini memberi fokus utama kepada perkembangan pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2) yang menumpukan kepada perluasan infrastruktur serta penambahbaikan capaian internet di Sabah. Daripada 3,000 lokasi sasaran di seluruh negara, kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi fokus tumpuan fasa ini bagi memastikan liputan rangkaian dapat diperluas secara menyeluruh dan saksama.
Turut hadir ialah Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Pengarah MCMC Negeri Sabah dan WP Labuan, Puan Ratnawaty Talib; Setiausaha Tetap KPSTI, YBhg. Datuk Hasan Mahali; serta Pengerusi Sabah Net, YBhg. Datuk Azman Ruslan. Sehingga kini, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) kekal bersiap sedia menyokong penuh inisiatif ini bagi merapatkan jurang digital, memperkasa akses pendidikan berasaskan teknologi, serta merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman, demi memastikan tiada rakyat Sabah yang ketinggalan dalam arus kemajuan digital selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.



