Majlis Persidangan Duta Guru STEM KSTI Negeri Sabah Tahun 2025
10.9.2025 - YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin bin Datuk Haji Mohd. Arif, JP, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Exco Pendidikan dan Agama Negeri Sabah telah menyempurnakan Majlis Persidangan Duta Guru STEM KSTI Negeri Sabah Tahun 2025 yang berlangsung di Sabah Oriental Hotel, Kota Kinabalu pada hari ini.
Persidangan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman serta kesedaran Duta Guru STEM KSTI mengenai potensi pengintegrasian teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam PdPc STEM. Selain itu, ia juga berfokus kepada usaha meningkatkan kompetensi Duta Guru STEM KSTI dalam mengaplikasikan teknologi AI bagi menjadikan PdPc lebih interaktif, kreatif dan berpusatkan murid. Di samping itu, persidangan ini turut menyediakan platform perkongsian amalan terbaik PdPc, inovasi, kajian tindakan serta pengalaman sebagai Duta Guru di sekolah masing-masing melalui Sesi Pembentangan Selari dan Pembentangan Poster. Persidangan ini juga memperkukuh jaringan kolaborasi antara Duta Guru STEM KSTI, pakar, industri dan pihak berkepentingan bagi membangunkan ekosistem STEM berasaskan AI di Negeri Sabah, selain mengeratkan muafakat dalam kalangan komuniti Duta Guru STEM KSTI.
Turut hadir, YBhg. Datuk Hj. Raisin bin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah; YBhg. Tuan Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah; Puan Hajah Nurani Fauziah binti Derin, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN Sabah; Tuan Janudin bin Jumat, Ketua Penolong Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah; Tuan Krishna K.S @ Mohd. Fadzli bin Hj. Abd. Rozan, Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD JPN Sabah; Puan Ainah Justi, Penyelaras Zon Sabah–Labuan Yayasan Tech For Malaysia; Ketua-Ketua Penolong Pengarah; pegawai-pegawai kerajaan; pengetua sekolah; serta para Duta Guru STEM Sabah.



