Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali Ke-10 Tahun 2025
Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali Ke-10 Tahun 2025
KOTA KINABALU | KHAMIS, 16 APRIL 2026
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib telah menyempurnakan upacara perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Kali Ke-10 Tahun 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam. Dalam majlis yang penuh bersejarah tersebut, beliau turut menyampaikan diploma kepada para graduan daripada pelbagai disiplin dan bidang kepakaran, sebagai simbolik kejayaan mereka mengharungi perjalanan akademik yang penuh dedikasi.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Datuk James bin Ratib menekankan bahawa graduan Kolej Vokasional merupakan aset strategik dan komponen penting dalam memacu agenda pembangunan ekonomi serta kemajuan teknologi di Negeri Sabah. Sebagai tenaga mahir yang terlatih, para graduan ini memikul tanggungjawab besar dalam memenuhi keperluan industri masa kini yang kian mencabar. Detik konvokesyen ini bukan sekadar satu penamat, malah merupakan titik permulaan bagi mereka untuk menabur bakti sebagai penggerak inovasi dalam pasaran kerja tempatan mahupun global.
YB Datuk James bin Ratib turut menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh warga graduan, para pendidik, serta ibu bapa yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan ini. Beliau berharap agar setiap graduan terus melangkah dengan penuh keyakinan dan kompetensi tinggi untuk menjadi pencipta masa depan yang cemerlang, selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya.



