MAJLIS AMANAT MENTERI PENDIDIKAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (KPSTI) SABAH TAHUN 2026
KOTA KINABALU | KHAMIS, 15 JANUARI 2026
MAJLIS AMANAT MENTERI PENDIDIKAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI (KPSTI) SABAH TAHUN 2026
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James Bin Ratib, telah menyampaikan amanat rasmi di Dewan Sipadan I, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pagi ini.
Dalam amanat tersebut, YB Menteri menegaskan bahawa pendidikan merupakan teras pembangunan negeri yang diperkukuh oleh sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu masa depan Sabah. Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut ditekankan untuk terus diperkasakan.
Fokus kementerian merangkumi penambahbaikan sekolah daif, pendigitalan pendidikan melalui penyediaan 45,000 unit komputer riba, kemudahan Starlink, solar dan genset di 68 buah sekolah, serta pemasangan papan pintar di 1,500 buah sekolah di seluruh negeri.
Turut diberi penekanan ialah pengukuhan integriti dan tadbir urus, penambahbaikan perjawatan, kesinambungan pelaksanaan MUET, pengiktirafan kepada warga pendidik, serta kesiapsiagaan Sabah dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, di samping komitmen terhadap kelancaran pelaksanaan Projek JENDELA Fasa 2 dan pembangunan infrastruktur komunikasi luar bandar.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Jordan Jude Ellron; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Tuan Hassan bin Mahali; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Raisin bin Saidin; Pengerusi Mahkamah Perusahaan Cawangan Sabah, Yang Arif Datuk Indra bin Haji Ayub; Naib Canselor North Borneo University College, Prof. Dato’ Sr. Azimuddin Bahari; Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Yayasan Sabah, Datuk Tah Niah binti Jeman; Timbalan Setiausaha Tetap I Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Puan Doria Tai Yun Tyng; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, YBhg. Tuan Shafaruddin bin Halide; Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, serta pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan.



