kunjungan hormat Jooblii Technologies Sdn Bhd kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib, telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jooblii Technologies Sdn Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Saifol Bahri Shamlan, bagi membincangkan cadangan pelaksanaan inisiatif SMJ EduPass.
Kunjungan ini menjadi platform perbincangan antara Jooblii Technologies Sdn Bhd dan Kerajaan Negeri Sabah bagi mendengar cadangan berkaitan SMJ EduPass. Melalui SMJ EduPass merupakan inisiatif bantuan pendidikan inovatif berasaskan bauchar digital yang direka untuk menyalurkan sokongan keperluan pembelajaran asas kepada para pelajar di seluruh Sabah secara lebih tersusun, telus, dan selamat. Sistem ini membolehkan bantuan disalurkan dengan kebolehkesanan (traceability) yang tinggi bagi memastikan setiap sen bantuan sampai kepada golongan sasar dengan lebih efektif.
Dalam cadangan ini, SCENIC berperanan sebagai agensi pelaksana dan penyelaras, termasuk menyelaras pelaksanaan bersama rakan pelaksana tempatan serta penyedia platform, manakala Kerajaan Negeri Sabah
kekal sebagai pemilik program dan penentu dasar. Pendekatan pelaksanaan yang dicadangkan adalah melalui model Kerjasama Awam-Swasta (PPP), dengan hasrat untuk dilaksanakan tanpa melibatkan peruntukan pembangunan dan operasi Kerajaan, sekali gus memastikan keberkesanan, kelestarian dan nilai tambah kepada rakyat. Sehubungan itu, KPSTI telah menerima kunjungan hormat daripada Jooblii Technologies Sdn Bhd bagi mendengar pembentangan naratif dan cadangan berkaitan SMJ EduPass. Kunjungan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Jooblii, Saifol Bahri Shamlan. Kerajaan Negeri Sabah sentiasa terbuka meneliti pendekatan inovatif dan berimpak tinggi yang dapat memperkukuh ekosistem pendidikan negeri secara inklusif dan mampan.



