LAWATAN Rasmi YB Datuk James bin Ratib Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah ke Institut Pendidikan Guru (IPG)
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau bagi meninjau secara dekat keperluan kemudahan infrastruktur serta perkembangan terkini program latihan perguruan di kampus tersebut.
Semasa lawatan tersebut YB Datuk James bin Ratib mengambil maklum mengenai beberapa isu kritikal, termasuk keperluan mendesak bagi penyelenggaraan pagar kampus yang telah usang. Bagi menjamin aspek keselamatan dan keselesaan persekitaran pembelajaran, beliau akan membawa perkara ini untuk perhatian Kerajaan Negeri melalui Kabinet Negeri, selain memohon peruntukan sewajarnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sejajar dengan usaha memperkasa pendidikan digital di Sabah, kementerian turut melihat keperluan pembekalan papan pintar (smart-board) bagi menyokong transformasi kaedah latihan dan pembelajaran bakal guru. Langkah ini penting bagi memastikan bakal pendidik kita dilengkapi dengan kemahiran teknologi yang relevan dengan arus perdana.
Selain itu, YB Datuk James bin Ratib turut memberi perhatian serius terhadap aduan berkaitan kualiti liputan internet dan telekomunikasi di sekitar kampus. Perkara ini akan dipanjangkan kepada pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan penyelesaian segera. Manakala bagi aspek logistik, permohonan pihak kampus untuk mendapatkan kemudahan bas baharu bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang telah uzur akan turut diberi pertimbangan sewajarnya.



