MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN BENGKEL TRANSFORMASI DIGITAL DAN PENGURUSAN LAMAN WEB AGENSI KERAJAAN NEGERI SABAH 2026
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN BENGKEL TRANSFORMASI DIGITAL DAN PENGURUSAN LAMAN WEB AGENSI KERAJAAN NEGERI SABAH 2026
KOTA KINABALU, RABU 29 JULAI 2026
Bengkel Transformasi Digital dan Pengurusan Laman Web Agensi Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2026 telah melabuhkan tirainya dengan jayanya selepas berlangsung dalam dua siri, iaitu pada 14 hingga 15 Julai 2026 bagi Kumpulan Pertama dan 28 hingga 29 Julai 2026 bagi Kumpulan Kedua. Program anjuran Bahagian Inovasi Digital, Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) ini telah menghimpunkan seramai 80 orang peserta yang mewakili 60 agensi Kerajaan Negeri Sabah.
Penganjuran bengkel ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh keupayaan digital sektor awam, khususnya melalui pemerkasaan pentadbir laman web rasmi agensi. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan kepada amalan terbaik pengurusan kandungan digital, pematuhan terhadap piawaian keselamatan ICT, serta tadbir urus laman web yang lebih sistematik dan berkesan, selaras dengan aspirasi transformasi digital perkhidmatan awam Negeri Sabah.
Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Abil bin Songping, Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Infrastruktur ICT dan EGS.
Turut Hadir YBrs. Puan Ila Fadiliah binti Harun, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Inovasi Digital.



