SABAH TVET FEST 2026
KOTA KINABALU | JUMAAT, 31 JULAI 2026
SABAH TVET FEST 2026
Yang Berhormat (YB) Tuan Jordan Jude, Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, telah mewakili Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, YB Datuk James bin Ratib, bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sabah TVET Fest 2026 yang bertemakan “TVET di Era Dominasi AI" di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Di dalam ucapan yang di sampaikan , beliau menegaskan bahawa penganjuran program ini bukan sekadar satu acara tahunan, malah merupakan satu anjakan strategik dalam usaha memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan pendidikan dan kerjaya yang berprestij di negeri Sabah.
Majlis turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif berimpak tinggi, antaranya Sabah Job Portal 2.0 (SJP 2.0) yang kini dipautkan dengan POMIGAS 2.0, Sistem Pengurusan Pelatih ILTP (MyILTP), Sistem Latihan Kemahiran Bersepadu (SiLK) serta Pelan Strategik JPSM 2026–2030.
Di samping itu, majlis turut menyaksikan Pertukaran Nota Kerjasama antara Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan berkemahiran serta pembudayaan integriti.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Hanafiah bin Mohd. Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas); YBhg. Datuk Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah; YBhg. Dato' Sri Ahmad Khusairi bin Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); YBrs. Dr. Kamsiah binti Ibrahim, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Sabah TVET Fest 2026; YBhg. Datuk Mohd. Fuad Bee bin Haji Basrah, Pengarah SPRM Negeri Sabah; YBhg. Puan Hajah Noor Lisa, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Sekretariat Majlis TVET Sabah; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan; Ahli-Ahli Jawatankuasa Induk dan Teknikal Majlis TVET Negeri Sabah; rakan-rakan strategik pempamer; serta pegawai-pegawai kementerian, jabatan dan agensi.



