Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, YB Datuk James Ratib, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil, di pejabat beliau di Putrajaya.

Pertemuan tersebut bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memacu agenda pendigitalan pendidikan di seluruh Negeri Sabah.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah tertumpu kepada pelaksanaan JENDELA Fasa 2 di Sabah, khususnya keutamaan liputan internet berkualiti di kawasan luar bandar, pedalaman serta sekolah-sekolah sebagai nod utama pendidikan digital.

KPSTI Sabah turut mencadangkan peluasan penggunaan Dana Universal Service Provision (USP) bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran digital, termasuk penubuhan Digital Smart Lab di sekolah terpilih.

Selain itu, YB Datuk James Ratib, turut membincangkan isu keselamatan digital kanak-kanak dan remaja, termasuk cadangan pengurangan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja di bawah 16 tahun sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman jenayah seksual dalam talian, termasuk kes pedofilia yang semakin meruncing.