YB Datuk James bin Ratib, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), para pengetua, guru besar, serta seluruh warga pendidik atas komitmen jitu dalam menjayakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026.

Beliau turut menyatakan manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan murid dan memperkukuh asas pendidikan sebagai pelaburan masa depan negara. Bantuan ini amat bermakna dalam meringankan beban perbelanjaan persekolahan ibu bapa, khususnya pada awal tahun.

Selain itu, pada tahun 2026, Kerajaan memperuntukkan RM794.25 juta di peringkat nasional. Bagi Negeri Sabah, sebanyak RM76.29 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada 508,631 murid di 1,298 buah sekolah. Ini adalah satu pelaburan besar demi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada pendidikan.

Beliau menyeru ibu bapa dan murid agar memanfaatkan bantuan ini sebaiknya sebagai pembakar semangat untuk terus berjaya dalam pendidikan, seterusnya melangkah ke institusi pengajian tinggi dan menjadi modal insan berkualiti kepada agama, bangsa dan negara.

Disamping itu, beliau juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran dibenarkan daripada wang BAP ini. Perkara ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak. Ini kerana Pendidikan adalah tanggungjawab bersama. Ayuh kita terus memperkukuh sinergi demi melahirkan Generasi MADANI yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi.