Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib, menghadiri Mesyuarat YB Menteri Pendidikan Tinggi bersama barisan Exco Pendidikan dan Exco Pendidikan Tinggi Negeri

PUTRAJAYA | ISNIN, 20 APRIL 2026

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk James bin Ratib, telah menghadiri Mesyuarat YB Menteri Pendidikan Tinggi bersama barisan Exco Pendidikan dan Exco Pendidikan Tinggi Negeri yang berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia, Mesyuarat strategik ini dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, sebagai platform utama untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara.

Fokus utama perbincangan tertumpu kepada usaha memperkasa pembangunan bakat, pengukuhan ekosistem inovasi, serta penyelarasan dasar pendidikan tinggi agar lebih responsif terhadap keperluan ekonomi masa kini. Kehadiran beliau bersama barisan Exco Pendidikan dari Melaka, Pahang, dan Johor, serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Adam Adli bin Abd Halim, mencerminkan kesepakatan jitu dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi dapat dinikmati secara inklusif di seluruh negara.

YB Datuk James bin Ratib menegaskan bahawa koordinasi erat ini amat kritikal bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat akses pendidikan yang berkualiti serta peluang pembangunan potensi yang lebih luas. Beliau berharap agar segala input dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan, sekali gus mempercepatkan transformasi pendidikan digital dan teknikal di Negeri Sabah selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.