YB Datuk James bin Ratib, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Dato' Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri, bertujuan meneliti perkembangan serta status pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub di bawah MA63. Fokus utama adalah bagi memastikan hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak terus diperkasakan dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Delegasi Kerajaan Negeri Sabah turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi negeri, iaitu YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III, YB Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan YB Datuk Julita Mojungki, Menteri Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat.

Mesyuarat ini merupakan platform strategik dalam memperkukuh sinergi antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Komitmen ini dizahirkan bagi memastikan agenda MA63 dilaksanakan secara konstruktif dan telus, sekali gus memberikan impak nyata terhadap pembangunan Sabah serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.